TRUST 2.0 : Sohwah Islamiyah [18.10.15]

RINGKASAN TRUST 2.0: SOHWAH ISLMIYAH

TARIKH: 18 OKTOBER 2015
MASA: 3.30-5.30 PETANG
TEMPAT: QAAH IBNU SINA
PENYAMPAI: USTAZ NOR MOHD FIRDAUZ BIN MUSTAFA


          Kebangkitan Islam ialah perkara terhebat dimiliki oleh umat Islam pada hari ini.  Bukanlah harta atau pangkat  perkara  terhebat dimiliki oleh kita akan tetapi ianya pemuda berjiwa revolusi khususnya pemuda yang mahukan Islam.
          Terdapat 2 sebab hilangnya kesedaran dalam diri seseorang itu. Pertama ialah, sebab dalaman. Sebab dalaman adalah seperti kemelesetan atau kemunduran yang melanda umat daripada kegagalan akibat kemunduran zaman dan salah faham mengenai Islam dan pelaksanaanya. Sebagai contoh, kita mempunyai 90 orang tentera dan musuh kita mempunyai hanya 50 orang tentera dan kita pun akan menganggap mudah sahaja untuk menjatuhkan musuh tersebut. Hal ini salah kerana kita sepatutnya lebih berhati hati kerana dalam 90 orang tentera yang kita miliki itu, belum tentu lagi mereka mempunyai kesetiaan terhadap kumpulannya. Bak kata pepatah, “musuh dalam selimut”. Sebab-sebab dalaman seperti inilah yang menyebabkan hilangnya kesedaran dalam diri.
          Kedua ialah sebab luaran. Sebab luaran adalah seperti gerakan penjajah yang menguasai Negara islam. Ianya adalah sebuah bencana yang tidak dapat ditentang. Bahayanya bukan sahaja penjajah menguasai bumi umat Islam akan tetapi mereka cuba menjajah akal (pemikiran), jiwa rakyat, perasaan, kehidupan dan akhlak.
          Antara peringkat-peringkat kebangkitan yang perlu diwujudkan ialah peringkat pemikiran. Contohnya, terpengaruh dengan pemikiran lain secara mutlak dan pemikiran justifikasi. Justifikasi ialah suatu alasan yang kuat untuk menjadikan sesuatu perkara wajar dilakukan. Misalnya, amalan riba hukumnya haram dalam islam tetapi mereka mahu melaksanakan dan beralasan bahawa amalan riba yang diharamkan Islam ialah amalan riba pada zaman jahiliyah dan bukannya amalan riba pada zaman ini.
          Peringkat seterusnya ialah kebangkitan emosi. Ianya bukanlah bermakna bangkit daripada tidur akan tetapi bersandarkan kepada asal makna kebangkitan pada bangsa Arab iaitu “kebangkitan dari hati dan perasaan”. Pemikiran manusia bukan hanya untuk terdiri daripada akal sahaja akan tetapi meliputi hati dan perasaan. Selain emosi, terdapat juga kebangkitan amal dan akhlak, kebangkitan wanita muslimah, kebangkitan antarabangsa dan kebangkitan pemuda.
          Kita tidak gusar dan bimbang dengan kekuatan asing dan dalaman yang menentang kebangkitan Islam akan tetapi kita bimbang akan kemunculan gerakan atau gelombang yang mungkin boleh merencatkannya. Antara gelombang tersebut ialah gelombang pelampau dan sesat, gelombang perpecahan, dan gelombang akan tenggelam kerana siasah (politik).
          Umat Islam mestilah memahami Islam dengan makna yang meluas dan tidak menyempitkan pengertian Islam hanya dalam masalah berkaitan perkara khilafiah (perbezaan pendapat) atau masalah cabang (furu’) seperti masalah menyimpan janggut,memakai pakaian yang pendek dan perbahasan menegenai aurat wanita mencakupi tangan dan muka. Islam bukan hanya tertumpu pada sesetengah bidang sahaja akan tetapi mencakupi seluruh aspek kehidupan. Golongan Mutasyaddidun( ekstrimis/ pelampau) merupakan golongan yang bahaya kerana mereka menyebabkan pengertian Islam yang syumul disempitkan.


Wallahu’alam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...