Tafsir Sural al-Fill [20.8.15]

[RINGKASAN TAFSIR SURAH AL-FILL]

PENGISI: USTAZ MUHAMMAD ALIFFUDIN BIN RAMLEE
TARIKH: 20 OGOS 2015
MASA: 4.15 P.M
TEMPAT: QAAH IBNU SINA (QIS)


Firman Allah :

Maksudnya : “Tidakkah engkau tahu (wahai Muhammad), bagaimana Tuhanmu memperbuat terhadap orang-orang yang mempunyai gajah?”
“Tidakkah Dia menjadikan tipu daya mereka sia-sia.”
“Dan Dia (Allah) mengirim kepada mereka burung yang berbondong-bondong.”
 “Yang melempar mereka dengan batu dan tanah yang keras.”
 “Lalu Allah menjadikan mereka seperti daun yang dimakan ulat.” (surah al-Fiil, ayat 1-5)

     Surah al-Fiil yang bermaksud “gajah”, mempunyai 5 ayat. Surah ini dikategorikan sebagai surah makiyyah kerana diturunkan di Makkah dan ketika sebelum peristiwa hijrah. Di namakan “al-Fill” bersempena dengan pasukan bergajah dalam perancangan jahat untuk menyerang Kaabah oleh salah seorang pemimpin Habsyah (kini Ethiopia),  bernama Abrahah bin al-Sabah Abu Ya’soum al-Ashram al-Himyari (571 M).

     Peristiwa serangan bergajah ini telah dikisahkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab Tafsir, Hadis dan Sirah. Di antaranya ialah Imam al-Qurtubi rhm yang menyebut perihal Abrahah dan kuncu-kuncunya di dalam kitab tafsirnya.

     Rentetan peristiwa ini bermula apabila Abrahah al-Ashram seorang gabenor Habsyah di Yaman (Habsyah negeri taklukan Yaman pada zaman dahulu) dan juga sebagai wakil Raja Habsyah (Najasyi) di situ, membina sebuah “Kaabah Baru” yang dinamakan “al-Qulais” . “Kaabah Baru” buatan Abrahah itu lebih cantik dari Kaabah yang asal (lama), kerana kubahnya diperbuat daripada emas sehingga tidak ada tandingannya pada zaman itu.

     Tujuannya adalah untuk memalingkan bangsa Arab daripada pergi menunaikan haji di Makkah kepada melawat “Kaabah Baru” di Yaman dan untuk memulihkan kembali hubungannya dengan Najashi.
Sebelum ini, Najasyi begitu murka terhadap Abrahah kerana pembunuhan Aryat (salah seorang gabenor juga ketika itu) yang dilakukan dengan cara khianat, iaitu menikamnya dari belakang oleh salah seorang tentera Abrahah akibat perselisihan mereka. Abrahah juga menerima kecederaan serius di mukanya akibat pertempuran itu. Wajah Abrahah berparut akibat terkena libasan pedang Aryat sehingga dia digelar Abrahah al-Ashram, “al-Ashram” bermaksud kesan parut.

     Najasyi gembira dengan pencapaian Abrahah sambil mengarahkan rakyatnya berkunjung ke “Kaabah Baru” di Yaman. Walaupun orang-orang Arab lari dari agama Hanif yang sebenar dan menyembah berhala, namun mereka masih tetap dan kekal mengunjungi Kaabah. Abrahah membuat pengisytiharan bahawa dia tidak mahu orang-orang Arab mengunjungi “Kaabah Lama” Baitullah al-Haram tetapi mengunjungi “Kaabah Baru” al-Qulais.

     Apabila mendengar berita demikian, orang-orang Arab yang terlalu memuja Kaabah menjadi marah sehingga ada yang membuat provokasi dengan membuang najis di dalamnya. Ada juga riwayat yang mengatakan “Kaabah Baru” buatan Abrahah sengaja (dirancang) dibakar, untuk dijadikan alasan kukuh kedatangan Abrahah menghancurkan Kaabah di Baitullah al-Haram.

     Abrahah telah mengambil satu keputusan mengikut hawa nafsunya untuk menyediakan satu kontinjen ketenteraan menuju ke Makkah bertujuan meruntuhkan Kaabah yang telah didirikan oleh Nabi Ibrahim as.

     Mengikut sebahagian ulama kenderaannya hanyalah seekor gajah, sebahagian ulama lain pula berpendapat lapan ekor gajah. Namun begitu mengikut kebanyakan ulama, lebih cenderung seekor sahaja.

     Apabila berita ini sampai ke pengetahuan orang-orang Arab bahawa Abrahah al-Ashram datang hendak meruntuhkan Kaabah, maka beberapa kabilah bertindak membentuk beberapa pasukan untuk menyerang dan menghalangnya daripada sampai ke Makkah, namun mereka tidak mampu mengalahkannya. Bahkan ketua-ketua kabilah ini telah ditawan oleh tentera Abrahah dan ada yang sanggup menjadi pemandu jalan kepada Abrahah iaitu Abu Righal kerana apabila Abrahah menang, sudah tentu dia juga ikut menang, biarpun apa yang dimenangi itu salah.  Setelah Abu Righal mati, kuburnya direjam oleh orang Arab di zaman jahiliyah yang menunaikan haji selain melontar jamrah.

     Abrahah meneruskan perjalanan sehingga sampai ke pinggir Makkah dan merampas beberapa ekor unta. Mengikut riwayat 200 ekor unta tersebut adalah milik Abdul Mutalib, datuk Rasulullah saw. Lalu Abdul Mutalib dan pengikut-pengikutnya menemui Abrahah. Setelah berjumpa, Abrahah bertanya apa yang dikehendaki oleh mereka. Abdul Mutalib menjawab;

 “Aku meminta agar dipulangkan kembali 200 ekor unta yang telah dirampas oleh pasukan tentera kamu.”

Abrahah tercengang lalu berkata;

 “Demi Tuhan, aku mula terpegun dengan keberanianmu tetapi bila kamu datang menyatakan hajatmu (permintaan) kepadaku sungguh ia telah menjatuhkan kewibawaanmu. Aku datang ke negerimu untuk membinasakan tempat (Kaabah) yang menjadi kebanggaan kamu, warisan yang dipelihara kamu di kalangan bangsa Arab dan sejarah kamu di antara tamadun manusia, dan kemuliaan kamu, agama kamu, lalu yang menjadi musibah bagi kamu ialah 200 ekor unta? Telah aku tanyakan hajatmu lalu yang menjadi kesayanganmu ialah unta-unta kamu, bukan Kaabah yang kamu puja itu.”

Abdul Mutalib menjawab;

 “Wahai raja (Abrahah), aku menuntut hartaku (kepunyaanku yang dirampas kamu), sedangkan Kaabah itu ada pemiliknya (Tuhan) Dia-lah yang akan menjaganya. Aku sedikitpun tidak berhak ke atas-Nya. Aku hanyalah pemilik unta, adapun Kaabah itu ada Pemilik yang akan menjaganya.”

     Abrahah dengan angkuh mengatakan bahawa tiada siapa yang dapat menghalangnya termasuklah Allah Taala. Abdul Mutalib dan pengikut-pengikutnya penduduk Makkah pulang setelah 200 untanya dipulangkan. Mereka menyembunyikan diri sambil memerhatikan tindakan tentera Abrahah ke atas Kaabah.

     Allah Taala yang memelihara Kaabah dan Allah Taala juga yang menjaganya. Salah satu perkara yang menakjubkan adalah bala tentera Allah itu ada yang taat dan ada yang tidak taat. Kadang-kadang bala tentera binatang menjadi bala tentera Allah Taala yang lebih taat kepada Allah berbanding manusia yang mempunyai akal fikiran. Apabila gajah itu dihalakan ke Kaabah, ia berpusing ke belakang, duduk dan tidak mahu berjalan, biarpun dipukul teruk. Apabila berpusing ke belakang (arah lain), ia berjalan dan berlari.

     Masyarakat Arab pada waktu itu merasakan kehebatan adalah milik tentera-tentera bergajah Abrahah kerana mereka boleh melakukan apa sahaja dengan kekuatan ketenteraan seperti itu, sedangkan orang Arab pada masa itu tidak ada gajah. Namun, dengan kuasa-Nya, Allah mengutuskan kepada mereka rombongan burung, yang datang berkawan, rombongan demi rombongan.

    Mengikut Said ibn Jubair ra, penghulu para tabi’en, burung ini adalah sejenis burung yang tidak dikenali jenisnya dan tidak pernah dilihat di bumi. Sesetengah ulama berkata ia seperti kelawar dan pelbagai gambaran yang menjadi khilaf di kalangan ulama. Pendapat yang paling baik adalah burung ini adalah burung khas yang dihantar oleh Allah. Burung-burung ini melontarkan kepada mereka dengan batu yang dibakar hangus. Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, satu di paruh dan dua di kaki.

Di dalam kitab“al-Sihah”, batu-batu tersebut dibakar di dalam neraka jahanam, yang ditentukan namanya oleh Allah dan yang ditentukan sasarannya oleh Allah. Allah Taala turut menentukan nama pada setiap batu sebagaimana azab yang juga dikenakan kepada kaum Luth as;

 “Maka Kami jadikan negeri kaum Luth itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar.” (surah al-Hijr, ayat 74)

     Maka jadilah mereka seperti pohon-pohon kayu yang dimakan ulat. Apabila jasad mereka terkena batu, tiba-tiba daging, kulit dan tulang mereka menggelupas, reput, gugur dan luruh seperti pohon-pohon yang gugur. Inilah dahsyatnya hukuman Allah Taala kepada “ashab al-fiil”, dan mengikut riwayat gajah selamat kerana dia tidak mahu menyerang Kaabah. Yang tidak selamatnya adalah manusia yang mempunyai perancangan jahat untuk menyerang rumah Allah.

     Peristiwa ini berlaku menurut kadar tempoh 50 tahun (ada riwayat 40 tahun) sebelum kelahiran Nabi Muhammad saw, dan tahun 570 M iaitu selepas zaman Nabi Isa as diangkat ke langit. Selepas itu, Nabi Muhammad dilahirkan pada bulan Rabi’ al-Awal Tahun Gajah. Maksud Tahun Gajah ialah kurun peristiwa bersejarah apabila tentera bergajah menyerang Kaabah dan dimusnahkan Allah.

PENGAJARAN


  •          Menunjukkan kebenaran Nabi Muhammad saw dan agama Islam yang dijaga oleh Allah Taala sehingga hari kiamat.
  •         Walaupun umat Islam hari ini lemah, dhaif dan tiada kuasa, ini adalah ujian daripada Allah. Ujian ini adalah supaya orang-orang munafik merasa tiada harapan dan dia tidak akan bersama dengan umat Islam yang dikiranya sebagai konservatif dan keterbelakang. Lalu dia bersama-sama orang-orang yang kufur kerana mempunyai penyakit hati dan mempunyai kepentingan diri sendiri.
  •          Allah menurunkan surah al-Fiil di Makkah ketika Nabi Muhammad saw ditekan, ditindas dan dianiaya dan juga untuk menguatkan keyakinan dan akidah para sahabat bahawa lambat-laun mereka akan menang dengan pertolongan Allah dan tiada siapa yang dapat menyekat mereka.



Wallahu’alam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...