Diskusi Fiqh Zakat ( 07 Julai 2014 )

Diskusi Fiqh Zakat

Penyampai: Ustaz Rafizani bin Ramli
Tarikh     : 07. 07. 2014
Hari         : Isnin
Masa        : 4.15 - 6.00 petang
Tempat    : Qaah Ibn Sina
Anjuran    : Madrasah Imam Nawawi 
                 Biro Pembangunan Insan 
                 PERUBATAN Cawangan Mansurah

Link untuk audio pengajian ini boleh didapati di sini Klik di sini

1. Bahasa : tumbuh; berkembang; atau bertambah. {زكا الزرع إذا نما}
- Ia juga bermaksud membersihkan atau mensucikan.
Firman Allah swt: { خُذ مِن أَموٰلِهِم صَدَقَةً تُطَهِّرُهُم وَتُزَكّيهِم بِها} [At-Taubah:103]
Maksudnya :{ Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk);} [At-Taubah:103]

2.Istilah syara’: zakat adalah nama bagi suatu pengambilan tertentu dari harta yang tertentu, menurut sifat-sifat yang tertentu dan untuk diberikan kepada golongan tertentu.

HUKUM DAN DALIL ZAKAT
Hukum Zakat.
Zakat merupakan salah satu rukun Islam, dan menjadi salah satu unsur utama tegaknya syariat Islam.
Hukum zakat adalah wajib (fardhu ain) atas setiap muslim yang memenuhi syarat-syarat tertentu.
Dalil Zakat
•Al-Quran : Firman Allah swt { وَأَقيمُوا الصَّلوٰةَ وَءاتُوا الزَّكوٰةَ } [Al-Baqarah:43]
Maksud : {Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat} [Al-Baqarah:43]
Firman Allah swt { خُذ مِن أَموٰلِهِم صَدَقَةً تُطَهِّرُهُم وَتُزَكّيهِم بِها} [At-Taubah:103]
Maksudnya :{ Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk);} [At-Taubah:103]
•Hadith:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بُنِىَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksud : Sabda Rasulullah saw "Dibina Islam Atas lima perkara; Bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, Mendirikan solat, Mengeluarkan zakat, Menunaikan haji (bagi yang mampu) dan Berpuasa di bulan Ramadan."
[ Shahih Bukhari (8)]
أَنَّ النَّبِىَّ صلى الله عليه وسلم بَعَثَ مُعَاذًا رضى الله عنه إِلَى الْيَمَنِ فَقَالَ ادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّى رَسُولُ اللَّهِ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِى كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِى أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
Maksud : Sesungguhnya Nabi saw mengutuskan Mu'az ra ke Yaman, baginda bersabda " Serulah mereka mesaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku adalah rasulullah, sekiranya mereka mentaati perkara tersebut, ajarkanlah mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam, sekiranya mereka mentaati perkara tersebut ajarkanlah mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka sedekah(zakat) yang diambil daripada orang kaya dan diberi kepada orang miskindi kalangan mereka."
[Shahih Bukhari (1413)]

Hukum orang yang enggan mengeluarkan zakat
1.Hukum orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana mengingkarinya:
Ketahuilah bahawa zakat adalah salah satu rukun daripada rukun Islam yang lima. Ia adalah rukun yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan sembahyang lima waktu. Oleh itu, ulama' telah bersepakat bahawa sesiapa yang mengingkari kefarduan zakat, dia telah jatuh kufur dan keluar dari Islam. Darahnya halal sekiranya dia tidak bertaubat.
2.Hukum orang yang enggan mengeluarkan zakat disebabkan bakhil atau kedekut:
Orang yang enggan mengeluarkan zakat sedangkan dia beriktiqad pada kewajipannya dan mengakui akan kefarduannya, maka dia telah fasiq dan berdosa. Dia akan dikenakan azab seksa yang pedih di akhirat nanti. Di dunia ini, zakat akan diambil secara paksa. Jika dia enggan dan menentang oarang yang mengambilnya, maka pemerintah Islam yang menjalankan syariat Allah swt dan menjaga amanah hendaklah memeranginya sehingga mereka mengeluarkan zakat.

HIKMAH DAN FAEDAH ZAKAT
1.Tabiat berzakat membiasakan pengeluarnya bersifat pemurah dan mulia, serta dapat mencabut akar-akar kedekut dan fakto-faktor bakhil dari dalam dirinya.
2.Menguatkan ikatan persaudaraan dan kasih sayang di antara pengeluar zakat dan orang sekitarnya.
3.Zakat memelihara peringkat kecukupan hidup untuk setiap individu masyarakat, sekali pun terdapat perbezaan pada peringkat kehidupan sekitar.
4.Zakat dapat menhapuskan banyak faktor dan sebab-sebab pengangguran.
5.Zakat ialah satu-satunya jalan untuk membersihkan hati daripada hasad dengki dan iri hati.

JENIS-JENIS ZAKAT
Zakat terbahagi kepada dua, iaitu:-
1.Zakat dengan harta (زكاة بالمال):
Pengertian : Zakat yang wajib ke atas harta.
Zakat ini terbahagi kepada lima jenis:-
A) المواشى (Haiwan ternakan)
B) الأثمان (Duit atau simpanan)
C)الزروع (Tanaman)
D) الثمار (Buah-buahan)
E) عروض التجارة (Keuntungan perniagaan)
2.Zakat dengan badan atau jiwa (زكاة بالبدن):-
Pengertian : Zakat yang wajib keatas tubuh badan. Dan dikenali sebagai zakat fitrah.

1.ZAKAT DENGAN HARTA.
A) ZAKAT HAIWAN TERNAKAN.
Pengertian : Haiwan ternakan yang wajib keatasnya zakat ada tiga jenis:-
1) Unta.
2) Lembu, termasuk juga kerbau.
3) kambing, termasuk biri-biri dan khoruf.
Syarat wajib untuk zakat ternakan ada enam syarat:-
1) Islam.
2) Merdeka.
3) Pemilikan yang penuh.
4) Cukup nisab (kadar wajib zakat).
5) Cukup haul (Setahun qomariah).
6) Mencari makanan sendiri.
Nisab(kadar):
UNTA
Nisab bermula apabila seseorang itu memiliki lima ekor unta dan tidak wajib zakat sekiranya bilangan unta kurang daripada lima. Kemudian zakat bertambah dengan bertambahnya bilangan unta berdasarkan ketetapan yang telah ditentukan seperti dalam jadual berikut :
Nisab(ekor)
Kadar yang diwajibkan
5 hingga 9 :Seekor kambing((الشاةberumur setahun atau biri-biri(المعز) berumur 2 tahun
10 hingga 14: 2 ekor kambing
15 hingga 19:3 ekor kambing
20 hingga 24:4 ekor kambing
25 hingga 35:Seekor بنت مخاض (anak unta betina yang masuk usia 2 tahun)
36 hingga 45:Seekor بنت لبون (anak unta betina yang masuk usia 3 tahun)
46 hingga 60:Seekor حقة (unta yang masuk usia 4 tahun)
61 hingga 75: seekor جذعة (unta masuk usia 5 tahun)
76 hingga 90:2 ekor بنت لبون
91 hingga 120: 2 ekor حقة
Jika jumlah unta lebih daripada 120 ekor, maka wajib bagi setiap 40 ekor unta dikeluarkan seekor بنت لبوب dan setiap 50 ekor unta dikeluarkan seekor حقة .
LEMBU DAN KERBAU:
Nisab lembu bermula dengan bilangan 30 ekor. Tidak wajib zakat bagi yang kurang daripada 30 ekor. Kewajipan jumlah yang dikeluarkan akan bertambah mengikut ketetapan tertentusetiap kali bertambahnya bilangan lembu.
Ia adalah seperti berikut :-
Nisab (ekor)
Kadar yang diwajibkan
30 hingga 39 : Seekor تبيع / تبيعة (lembu yang berusia setahun)
40 hingga 59 :Seekor مسنة (lembu yang berusia 2 tahun)
60 hingga 69 : 2 ekor تبيع
70 hingga 79 : Seekor مسنة dan seekor تبيع
80 hingga 89 :2 ekor مسنة
90 hingga 99  ekor تبيع
100 hingga 109 : Seekor مسنة dan 2 ekor تبيع
110 hingga 119 : 2 ekor مسنة dan seekor تبيع
Begitulah seterusnya. Setiap 30 ekor, seekor تبيع dan setiap 40 ekor, seekor مسنة .
KAMBING :
Tidak wajib zakat sehingga mencapai jumlah 40 ekor kambing. Apabila cukup 40 ekor kambing, wajib dikeluarkan seekor kambing.
Kadar yang wajib itu bertambah setiap kali ada pertambahan bilangan kambing berdasarkan ketentuan seperti jadual berikut :-
Nisab (ekor)
Kadar yang wajib
40 hingga 120 :Seekor kambing (الضأن yang berusia setahun ataupun المعز yang berusia 2 tahun)
121 hingga 200 : 2 ekor kambing
201 hingga 300: 3 ekor kambing
Kemudian kadar yang wajib ini bertambah mengikut asas yang ditetapkan iaitu pada setiap 100 ekor kambing.
Ini bermaksud, setiap kali bertambah 100 ekor kambing, bertambahlah kadar yang diwajibkan iaitu seekor kambing.

B) ZAKAT DUIT ATAU SIMPANAN.
Pengertian : Emas dan perak sama ada yang telah dicetak menjadi matawang atau masih dalam bentuk ketulan.
Ia juga bermaksud apa yang berada di bawah penguasaan pemiliknya secara hakikat atau secara anggapan iaitu sama ada urusan dengan keduanya secara langsung ataupun menggunakan wang kertas yang menggantikan keduanya.
Saham-saham yang mempunyai jaminan tetap yang ada ikatan dengan nilai sebenar sama ada emas atau perak juga termasuk dalam perkara ini.
Wajib mengeluarkan zakat apabila memenuhi lima syarat:-
1) Islam.
2) Merdeka.
3) Pemilikan yang penuh.
4) Cukup nisab (kadar wajib zakat).
5) Cukup Haul (setahun qomariah).
Nisab (kadar wajib) :
Emas :
Tidak wajib zakat pada emas sehinggalah ia mencapai kadar 20 dinar (مثقال. )
20 dinar( مثقال) bersamaan 85gram emas.
Jika seseorang memiliki sekurang-kurangnya 85gram emas, wajib keluarkan sebanyak satu perempat daripada sepuluh (2.5%).
Perak :
Zakat perak tidak wajib dikeluarkan sehinggalah ia mencapai kadar 200 dirham .
200 dirham bersamaan 595 gram, wajib keluarkan sebanyak satu perempat daripada sepuluh(2.5%) sebagai zakat yang wajib.

C)ZAKAT TANAMAN DAN BUAH-BUAHAN
Pengertian tanaman : Tanaman yang wajib zakat hanyalah yang menjadi makanan asasi manusia (makanan yang mengenyangkan) dalam keadaan biasa dan ia boleh disimpan dan tidak rosak.
Diantara jenis tanaman yang wajib dikeluarkan zakat ialah biji gandum, barli, beras, kacang adas, kacang kedelai, jagung dan sebagainya.
Tiga syarat, tanaman tersebut dikenakan zakat.
Syaratnya ialah :-
1) Hendaklah tanaman tersebut ditanam oleh manusia.
2) Hendaklah tanaman tersebuat adalah makanan asasi yang mengenyangkan dan boleh disimpan lama tanpa mengalami kerosakkan.
3) Mencukupi nisab(kadar) yang telah ditetapkan.
Pengertian buah-buahan :
Buah-buahan yang wajib dikenakan zakat ialah buah daripada pokok yang berbatang dan buah yang bergugus.
Diantara jenis-jenisnya ialah kurma dan anggur kering (zabib atau kismis).
Wajib mengeluarkan zakat sekiranya buah-buahan tersebut memenuhi empat syarat berikut :-
1) Islam.
2) Merdeka.
3) Pemilikan yang penuh.
4) Mencukupi nisab (kadar).
Nisab(kadar wajib) :
Nisab tanaman dan buah-buahan adalah sama iaitu 5 الوسق .
5 الوسق = 612 kilogram.
Ini bermakna jika tanaman yang telah dibuang kulitnya mencapai 612 kilogram, maka wajib keluarkan zakat.
Jika tanaman dan buah-buahan tersebut disirami oleh air yang tidak memerlukan usaha seperti air hujan atau air sungai dan tidak memerlukan perbelanjaan daripada pekebun, wajib dikeluarkan sebanyak satu persepuluh (10%) apabila cukup nisabnya.
Jika tanaman dan buah-buahan tersebut disiram menggunakan air yang memerlukan tenaga dan perbelanjaan daripada pekebun seperti pengepam air atau alat penyembur air, maka zakat yang wajib atasnya ialah separuh daripada satu persepuluh (5%) sahaja ketika itu.

D)ZAKAT PERNIAGAAN
Pengertian : Penukaran harta dengan barangan tertentu bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Ia tidak dikhususkan kepada barangan tertentu sahaja. Barang-barang perniagaan ialah barangan yang ditukar antara tangan dengan niat untuk mendapatkan keuntungan.
Syarat untuk zakat perniagaan adalah sama dengan syarat zakat simpanan iaitu:-
1) Islam.
2) Merdeka.
3) Pemilikan yang penuh.
4) Cukup nisab (kadar wajib zakat).
5) Cukup Haul (setahun qomariah).
Nisab(kadar) :-
Nisab perniagaan :sama dengan nisab emas dan perak iaitu jika mencukupi 85 gram bagi
emas, wajib keluarkan sebanyak 2.5%.
Perak pula jika mencapai kadar 595 gram, wajib keluarkan sebanyak 2.5% sebagai zakat yang wajib.
Tetapi nisab perniagaan dikira pada akhir haul (tahun qomariah) daripada permulaan perniagaannya bermula.
Oleh itu tidak disyaratkan cukup nisab pada permulaan perniagaan. Begiti juga tidak disyaratkan nisab tersebut cukup sepanjang tempoh haul.

E) ZAKAT GALIAN DAN RIKAZ .
Pengertian : Maksud galian dan rikaz ialah emas dan perak yang dikeluarkan dari perut bumi.
Jika dikeluarkan galiannya, kemudian diproses dan menghasilkan logam galian maka itulah yang dinamakan barang galian. Sekiranya ia merupakan barang terpendam sebelum Islam maka ia dinamakan rikaz.
Nisab(kadar) :
Galian : Nisab galian sama dengam nisab emas dan perak. Tetapi tidak disyaratkan haul , bahkan wajib keluarkan segera selepas ia diperolehi. Dengan itu, apabila seseorang menggali galian emas atau perakdan apa yang diperolehinya cukup nisabnya maka dia wajib mengeluarkan zakat pada waktu itu juga sebanyak 2.5% daripada jumlah yang diperolehi.
Rikaz : Nisab rikaz juga sama dengan nisab emas dan perak dan tidak disyaratkan padanya haul, bahkan ia wajib dikeluarkan segera selepas ia diperolehi. Kadarnya ialah satu perlima (20%) daripada jumlah kesemua yang diperolehi.

ZAKAT KHALITAIN
Pengertian : Dua harta zakat yang telah bercampur dan dimiliki oleh dua orang dengan niat berkongsi dan tidak mengetahui kadar pembahagian masing-masing.
Harta yang bercampur wajib dikeluarkan zakat apabila memenuhi tujuh syarat berikut :-
1) Sekiranya tempat simpan pada waktu malam antara dua harta tersebut sama.
2) Sekiranya tempat simpan atau kandang yang sama.
3) Sekiranya tempat makan yang sama.
4) Sekiranya harta tersebut adalah harta yang sama.
5) Sekiranya tempat minum juga sama.
6) Sekiranya pekerja yang menguruskan harta tersebut atau pemerah susu yang sama.
7) Sekiranya tempat perahan yang sama.
Nisab(kadar): Nisab untuk zakat ini adalah mengikut jenis harta tersebut.

2 . ZAKAT TUBUH BADAN (ZAKAT FITRAH)
Pengertian : harta yang wajib dikeluarkan pada kadar tertentu ketika terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadan, dengan syarat-syarat tertentu ke atas setiap mukallaf dan setiap orang yang berada di bawah tanggungannya.
PENSYARIATAN
Zakat difardukan pada tahun kedua hijrah iaitu pada tahun difardukan puasa bulan ramadan.
DALIL WAJIB ZAKAT FITRAH
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَدَقَةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ عَلَى الصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ وَالْحُرِّ وَالْمَمْلُوكِ
Maksudnya : Rasulullah saw telah mewajibkan sedekah (zakat) fitrah sebanyak satu gantang daripada tepung atau satu gantang daripada kurma ke atas setiap orang islam sama ada kanak-kanak mahupun dewasa, hamba ataupun merdeka.
[Shahih Bukhari (1537)]
SYARAT WAJIB ZAKAT FITRAH .
1) Islam.
2) Hidup sekurang-kurangnya sebahagian bulan Ramadan dan sebahagian bulan Syawal.
3) Memiliki harta yang melebihi keperluan untuk diri sendiri dan keperluan orang yang berada di bawah tanggungannya.
JENIS DAN KADAR ZAKAT YANG WAJIB DIKELUARKAN.
Jenis dan kadar zakat fitrah:segantang makanan asasi bagi sesebuah negara yang diduduki oleh pengeluar tersebut.
Segantang = 2.04 kilogram.
Ini bermakna setiap muslim yang mencukupi tiga syarat yang telah disebutka wajib mengeluarkan 2.04 kilogram setiap orang sebagai zakat yang wajib ke atasnya.
WAKTU MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH.
1) Wajib : Apbila terbenam matahari pada hari akhir bulan Ramadan.
2) Sunat : Bermula waktu terbit matahari pada hari raya atau bulan Syawal sebelum keluar untuk sembahyang hari raya sehingga sebelum bermula sembahyang raya.
3) Harus : Sepanjang bulan Ramadan.
4) Makruh : Selepas solat sunat hari raya sehingga terbenam matahari pada hari raya pertama.
5) Haram : Terbenam matahari pada hari raya pertama sehingga ramadan tahun hadapan.

PENERIMA ZAKAT (ASNAF ZAKAT)
1) Orang-orang faqir : Orang yang tiada harta yang mencukupi untuk keperluan dirinya.
2) Orang-orang miskin : Orang yang memiliki sesuatu untuk menampung keperluan dirinya dan cukup untuk sebahagian dari keperluannya sahaja, tetapi tetap tidak memadai.
3) Pemungut zakat (Amil) : Pengawai dan pemungut zakat yang dilantik oleh pemerintah untuk mengumpul dan membahagikan zakat.
4) Muallaf : Orang yang hatinya terpaut pada Islam dan orang yang baru memeluk Islam yang dijangka keimanan mereka akan bertambah kuat dan teguh dengan memberi zakat kepadanya.
5) HAMBA : Hamba yang dimaksudkan ialah golongan hamba mukatab (hamba yang mengikat perjanjian dengan tuannya untuk membayar sejumlah wang bagi kebebasan mereka).
6) ORANG YANG BERHUTANG : Orang yang dibebani dengan hutang dan tidak mampu melangsaikannya.
7) ORANG YANG BERADA FI SABILILLAH : Orang yang berperang dan berjihad dengan sukarela untuk membela Islam dan mereka tidak mendapat upah atau gaji daripada harta orang Islam.
8) IBNU SABIL : Orang yang musafir dengan perjalanan yang dibenarkan oleh syariat atau orang yang hendak melakukan perjalanan yang dibenarkan syariat walaupun sekadar untuk berjalan-jalan.

6 GOLONGAN ORANG YANG TIDAK BOLEH MENERIMA ZAKAT
1.Orang yang mempunyai kekayaan dan kemampuan untuk mencari harta.
2.Hamba.
3.Bani Hashim.
4.Bani Muthallib.
5.Orang kafir.
6.Orang yang berada di bawah tanggungannya tidak boleh menerima zakat dari orang yang menanggungnya walaupun mereka tergolong dalam golong penerima zakat. Tetapi mereka boleh menerima zakat yang diberi oleh orang yang bukan menanggungnya sekiranya mereka tidak tergolong dalam lima golongan di atas.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...