Kelebihan Selawat ke atas Nabi


Firman Allah :
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيماً
Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. [Al-Ahzab : 56]
                                                                                                             
Sabda Rasulullah :
 ‘Siapa berselawat kepadaku dari umatku untuknya ditulis sepuluh kebaikan’.

Riwayat Umar r.a.
Apabila mendengar kematian Rasulullah, beliau menangis dan berkata ,

Demi ayahku, demi ibuku ya Rasulullah..
Sesungguhnya kelebihanmu di sisi Tuhanmu.
Ketaatan kepadamu merupakan ketaatan kepada Allah..

Firman Allah :
مَّنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللّهَ وَمَن تَوَلَّى فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظاً
Barangsiapa yang menta'ati Rasul itu, sesungguhnya ia telah menta'ati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling (dari keta'atan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka.[An-Nisa' : 80] 

Demi ayahku, demi ibuku ya Rasulullah..sesungguhnya kelebihanmu,
Allah memberitahu, Allah akan mengampunkanmu sebelum memeberitahu kesalahanmu.

Firman Allah :
عَفَا اللّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذِينَ صَدَقُواْ وَتَعْلَمَ الْكَاذِبِينَ
 Allah telah memaafkanmu terhadap kesalahan kamu membiarkan orang2 munafik  tidak pergi berperang. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta? [At-Taubah:43]
                                                                                       
Demi ayahku, demi ibuku Ya Rasulullah..
Sesungguhnya kelebihanmu menyebabkan ahli-ahli neraka bercita-cita untuk berada di dunia dan taat kepadamu.
Mereka berkata :
يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا
Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikan dalam neraka, mereka berkata: "Alangkah baiknya, andaikata kami ta'at kepada Allah dan ta'at (pula) kepada Rasul". [Al-Ahzab : 66]

                                                                                               
Demi ayahku, demi ibuku Ya Rasulullah..
Jika Nabi Musa, Allah bagi batu di mana terpancut air dari batu tersebut tetapi tidak ada yang lebih mengkagumkan dari jari-jemarimu yang yang mana keluar air darinya setelah engkau celup di dalam 1 bekas.( boleh beri minum lebih 80 orang)

Demi ayahku, demi ibuku Ya Rasulullah..
Jika Nabi Sulaiman, Allah bagi angin datang sebulan, pergi sebulan, tetapi tidak ada yang lebih mengkagumkan engkau naik buru’ untuk naik ke langit dan pada malam yang sama engkau dapat solat Subuh di Mekah (pada hari yang sama).

Demi ayahku, demi ibuku Ya Rasulullah..
Sekiranya Isa diberi kelebihan menghidupkan orang mati, tetapi lebih mengkagumkan..seekor kambing yang diberi racun oleh seorang wanita Yahudi, dapat bercakap denganmu sedangkan dia(kambing tadi) telah dipanggang..’ janganlah makan aku, sesungguhnya aku telah diracun’.

Demi ayahku, demi ibuku Ya Rasulullah..
Sesungguhnya walaupun dalam umurmu yang pendek (63 tahun) tetapi pengikutmu ramai sedangkan Nuh umur panjang (950 tahun) tetapi sedikit pengikut.

Sesungguhnya engkau hanya memakai pakaian dari kulit kambing, hanya menunggang himar dan sanggup orang duduk membonceng di belakang engkau (atas binatang tunggangan) dan sanggup meletakkan makanan di atas lantai ( tidak mempunyai meja )…begitulah tawadu’nya Rasulullah.

Subhanallah..hebatnya engkau wahai Rasulullah!
 
~CINTAKAN RASULULLAH PEMANGKIN BIAH SOLEHAH~

-Nor Dalila-

Amalan-amalan Batin Dalam Tilawah Alquran

Di sana terdapat amalan zahir dan amalan batin, namun Allah lebih melihat amalan-amalan yang batin berdasarkan hadith riwayat Imam Muslim, Nabi s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Allah s.w.t tidak melihat tubuh badan dan rupa paras tetapi melihat hati kamu." Baginda menunjuk ke dadanya dengan jari-jarinya.
Maksudnya, tempat nilaian Allah s.w.t terhadap suatu amalan adalah pada hati kita. Tetapi tidak pula meninggalkan amalan yang zahir kerana ia sebagai kepatuhan kepada perintah Allah s.w.t. Jadi sebagai hamba Allah, kita perlu menekankan aspek batin. Ini kerana orang yang zahir dan batinnya tidak selaras adalah tanda-tanda orang yang tidak ikhlas. Setelah kita ketahui amalan-amalan zahir dalam tilawah Al-Quran (keadaan pembaca, melagukan, tartil, menangis, tunaikan hak ayat, beristi’azah dan doa, perlahan suara, perelok bacaan dan tertibnya), maka kita perlu mengetahui amalan-amalan batin supaya ianya bernilai di sisi Allah s.w.t.


Pertama – Memahami kebesaran kalam Allah dan ketinggiannya.
Kita perlu mengetahui betapa agungnya kalam yang dibaca, kerana ianya adalah kalam yang paling benar dan paling betul. Allah juga telah memberi kelebihan kepada kita untuk memahami kalam-Nya sedangkan sepatutnya kita tak boleh memahaminya kerana ia merupakan kalam yang teragung. Lebih-lebih lagi jika kita fikirkan, kita sebenarnya tidak layak untuk memahami kalam Allah, cumanya Allah ingin berikan kepada ummat Nabi Muhammad s.a.w kelebihan utuk memahami kalam-Nya yang qadim melalui bahasa arab.

Kedua – Mengagungkan zat yang bercakap (mengagungkan Allah s.w.t)
Maka apabila kita telah memahami keagungan kalam Allah, ketika kita ingin memulakan tilawah, kita perlu menghadirkan dalam hati, keagungan Tuhan yang berkata-kata kerana kita ingin melafazkannya. Dan untuk menghadirkan rasa keagungan kepada Allah swt, kita perlu berfikir tentang sifat-sifat-Nya, keagungan-Nya, dan perbuatan-perbuatan-Nya. Kita perlu hadirkan dalam hati bahawa semua yang ada adalah ciptaan Allah dan Dia berkuasa ke atas segala sesuatu. Dengan berfikir tentang perkara-perkara inilah yang akan menghadirkan rasa mengagungkan Allah, dan kemudian mengagungkan kalam-Nya.

Ketiga – Menghadirkan hati
Hati kita pula perlu ada bersama ketika membaca Al-Quran. Kita perlu tinggalkan cerita-cerita yang bermain di dalam hati (terlintas dan teringat tentang perkara lain) dan kosongkannya dari bacaan. Kita perlu palingkan keinginan hati kepada apa yang sedang dibaca. Golongan Salafussoleh, apabila mereka membaca suatu surah dan tiada penghayatan padanya, maka mereka akan ulang bacaan itu kali kedua. Sifat ini lahir daripada rasa mengagungkan Allah dan kalam-Nya.  Sesungguhnya, orang yang mengagungkan kalam Allah, apabila dia membacanya, dia tidak lalai kerana di dalam Al-Quran ada keseronokan yang dirasainya. Maka apabila dia merasai keseronokan dalam Al-Quran, bagaimana pula dia ingin berfikir tentang perkara lain.

Keempat – Tadabbur
Kemudian bukan sekadar menghadirkan hati, kita mestilah tadabbur iaitu ada perasaan seperti seronok, gembira, sedih apabila membaca Al-Quran dan mengambil pengajaran daripadanya. Contoh daripada Nabi saw adalah apabila Nabi membaca berulang kali satu ayat sahaja dari surah Al-Maidah : 118 daripada malam sehingga subuh semata-mata untuk tadabbur. Maka oleh sebab itulah, kualiti bacaan dari segi pemahaman lebih penting daripada kuantiti bacaan yang langsung tidak difahami. Seperti kata saidina Ali r.a :- 
“Tiada kebaikan pada ibadah yang tidak ada kefahaman padanya, dan tiada kebaikan pada bacaan yang tiada tadabbur padanya.” 
Maka apabila kita tidak mampu untuk tadabbur dengan satu kali bacaan, ulanglah ia berulang-ulang kali dengan tartil. 

Kelima – Tafahhum
Tafahhum ini adalah dengan mencari penjelasan dari setiap ayat, tentang kefahaman dan rahsia-rahsia di sebalik ayat tersebut berpandukan tafsir ulama muktabar. Kerana Al-Quran menyebut sifat-sifat Allah, perbuatannya, tentang kisah-kisah para nabi, kisah-kisah kaum yang menyalahi nabi dan bagaimana mereka dimusnahkan, tentang suruhan Allah dan tegahan-Nya, tentang syurga dan neraka, dan sebagainya. Apabila kita berfikir tentang ciptaan Allah yang hebat secara detail (seperti peringkat embryology, perjalanan planet, proses tumbesaran pokok), maka kita akan dapat mengetahui tentang kehebatan Allah swt. Dengan memahami ayat-ayat Al-Quran inilah yang dapat melahirkan rasa tersangat taajub kepada Allah. 

Keenam – Menghilangkan segala perkara yang menegah seseorang dari memahami ayat
Kita mestilah menghilangkan segala sebab dan penghalang yang menghalang kita dari memahami keajaiban dan rahsia-rahsia Al-Quran. Antara perkara yang menghalang orang a’jamiy dari memahami Al-Quran adalah kerana bahasanya. Jadi kita perlu memperuntuk masa untuk belajar tafsiran Al-Quran dari mufassir lebih daripada masa untuk membaca Al-Quran. Sebab itulah nabi menawarkan ganjaran yang besar kepada siapa yang belajar memahami Al-Quran berdasarkan hadith riwayat Tirmizi:
Rasulullah bersabda kepada Abu Zar: 
“Wahai Abu Zar, jika engkau keluar pada waktu pagi untuk memahami satu ayat, itu lebih besar pahalanya  daripada sembahyang 100 rakaat.”
Jadi, Allah memberi ganjaran yang besar untuk memahami Al-Quran kerana tujuan utama Al-Quran diturunkan adalah untuk difahami kemudian diamalkan.  Orang yang tidak memahami adalah orang yang buta dari melihat keajaiban dan rahsia Al-Quran. Antara penghalang dari pemahaman adalah terlalu menekankan ketajaman makhraj dan lagu Al-Quran lebih daripada menghayati maksud ayat Al-Quran. Jadi kita perlu berlindung dengan Allah swt daripada segala perkara yang menegah kita daripada memahami kalam Allah.

Ketujuh – At-Takhsis
At-Takhsis bermaksud, kita merasakan segala kata-kata di dalam Al-Quran ditujukan kepada diri kita. Contohnya, apabila kita mendengar ayat tentang suruhan atau tegahan, kita merasakan bahawa tegahan dan suruhan itu untuk diri kita. Begitu jualah apabila kita mendengar janji baik atau janji buruk, kita merasa sedih dan gembira apabila mendengarnya. Apabila mendengar kisah-kisah umat terdahulu, kita merasakan ia dikisahkan untuk kita mengambil iktibar daripadanya dan segala pengajaran yang kita mampu melalui tafsir-tafsir Al-Quran muktabar. Apabila kita telah mengambil iktibar, kita akan mendapat kekuatan untuk menetapkan hati dalam melakukan amalan terutamanya dalam membaca Al-Quran. 

Kelapan – Terkesan dengan Al-Quran
Yakni terkesan hati kita dengan pelbagai kesan berdasarkan ayat-ayat Al-Quran yang pelbagai. Contohnya kita merasa gementar apabila membaca tentang azab Allah, tenang apabila membaca janji Allah ke atas orang beriman, menangis apabila mengingatkan dosa kita yang banyak, mengingatkan orang lain tentang peringatan-peringatan di dalam Al-Quran, bertaubat dengan segera dengan bersungguh-sungguh, rasa seronok dengan ilmu yang baru dan sebagainya.


Maka ketahuilah, siapa yang memahami semua perkara ini akan mendatangkan keikhlasan dan mampu melahirkan amalan-amalan batin ini terutamanya dalam membaca Al-Quran. Siapa yang tidak memahaminya akan menyebabkan bacaan Al-Quran itu sekadar gerakan mulut dan mendatangkan laknat ke atas dirinya sendiri. Gerakan mulut itu hendaklah disertai dengan akal dan hati, supaya amalan kita diterima oleh Allah swt.
Hak lidah : Memperbetul huruf dan bacaan yang tartil.
Hak akal : Mengetahui makna Al-Quran dengan mempelajari dari ulama dan tafsir muktabar.
Hak hati : Mengambil pengajaran dan terkesan dengan Al-Quran itu dengan mengamalkan suruhan dan meninggalkan larangan.
 
Pengajian Kitab Mauizotul Mu’minin (m/s 127) (16 disember – 20 januari)
Nur Muhammad Abrar bin Mahmud

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...